SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KEPADA PENGUNJUNG BUDIMAN SEKALIAN SEMUA SEMOGA KALIAN DAPAT KERAHMATAN DARI ILAHI

Sunday, August 28, 2011

APC Panzer Bakal Perkuatkan Aset ATM



KENDERAAN pengangkut tempur pelbagai guna (APC) Panzer buatan Indonesia mungkin dianggap nama baru dalam industri pertahanan negara, apatah lagi jika dibandingkan dengan RPZ Condor atau SIBMAS yang mempunyai rekod lebih 30 tahun perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Namun, minat disuarakan Malaysia untuk mendapatkan khidmat APC daripada Perusahaan Industri Angkatan Darat PT (PINDAD) Indonesia, membuka satu lembaran baru kepada industri pertahanan negara, terutama selepas menyaksikan rekod peranan Panzer dalam perkhidmatan infantri Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Difahamkan, Malaysia dalam proses memuktamadkan rundingan untuk mendapatkan 32 unit APC 6x6 Panzer daripada PINDAD dan hal ini diakui sendiri Pengarah PINDAD, Adik A Soedarsono berdasarkan tempahan pembelian kenderaan APC terbabit yang dilakukan Malaysia dua tahun lalu.

"Setakat ini, kira-kira 30 unit APC 6x6 Panzer sudah siap dipasang dan berdasarkan tempahan, Panzer terbabit dijangka digunakan tentera pengaman Malaysia untuk melaksanakan pelbagai tugasan terutama ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya ketika menerima lawatan rombongan Malaysia diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Batu Jajar, Bandung.

Panzer 6x6 adalah APC buatan PINDAD yang digunakan khusus untuk mengangkut infantri di lapangan perang dengan kapasiti muatan 10 penumpang, termasuk tiga krew serta masing-masing satu pemandu, komander dan pengendali senjata.

Sejarah pembangunan Panzer bermula pada 2003 berikutan keperluan mendesak terhadap khidmat APC oleh TNI ketika menjalankan misi di sekitar daerah Acheh, yang kemudian mencetus pembikinan kenderaan Angkut Personel Ringan 4x4 atau lebih dikenali APR-1V.

Susulan khidmat cemerlang APR-1V, PINDAD kemudian membangunkan beberapa siri kenderaan pengangkut mengikut keperluan teknikal termasuk beberapa siri Angkut Personel Sedang (APS) 6x6 termasuk APS-3 dikenali Anoa, sebelum disusuli Panzer APC.

Berdasarkan maklumat, selain PINDAD di Indonesia, Malaysia dilapor meninjau APC keluaran dua lagi syarikat iaitu Dosaan di Korea Selatan dan Renault di Perancis.

Bagaimanapun, dua daripadanya kini disenarai pendek mengikut keperluan operasi APC 6x6 ATM iaitu PINDAD dan Renault.

Panzer 6X6 keluaran PINDAD dibina khusus menggunakan sistem penggerak roda simetri dengan dilengkapi senjata 12.7mm dengan putaran 360 darjah, bersesuaian dengan kehendak serta keperluan operasi TNI.

Menariknya, dengan harganya jauh lebih murah berbanding APC buatan Renault, keupayaannya bukan saja langsung tidak terjejas, malah tetap mampu memainkan peranan dalam situasi tempur sama seperti fungsi dimainkan RPZ Condor yang bertindak sebagai perisai infantri ATM dalam segenap misi yang dilalui.

Antara kelebihan dimiliki APC Panzer terutama Anoa V2 6x6 ialah bahagian atas lubang utamanya sengaja direka berbentuk lebih bulat dan cembung sebagai fungsi pertahanan, terutama mampu memantulkan peluru bila tertembak.

Malah, aspek navigasinya juga dilengkapi sistem persenjataan kawalan jauh yang memungkinkan pengoperasian senjata menggunakan 'joystick'. Ini jauh lebih memudahkan berbanding secara manual sebelum ini.

Kebiasaannya, Panzer keluaran PINDAD menggunakan sistem senjata 'Smoke Shield' dengan kaliber 66 milimeter (mm) dan 'Armanents' 7.62 mm serta 12.7 mm.

Spesifikasi: PT PINDAD Panzer

Setakat ini, kira-kira 30 unit APC 6x6 Panzer sudah siap dipasang dan berdasarkan tempahan, Panzer terbabit dijangka digunakan tentera pengaman Malaysia untuk melaksanakan pelbagai tugasan terutama ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Adik A Soedarsono, Pengarah PINDAD

Berat - 11 tan (kosong), 14 tan (kombat)

Panjang - 6 meter

Lebar - 2.5 meter

Tinggi - 2.5 meter

Penumpang - 3 + 10 penumpang

Kelajuan - 90km/jam

(Berita Harian)

No comments:

Post a Comment